Sunday, 13 May 2012

Kesegaran Wacana Islamisasi dalam Gerakan Islami

Oleh: Muhammad Syukri Rosli

Jika ditinjau mengenai wacana semasa gerakan dakwah Islam di Malaysia – persoalan Islamisasi dilihat semakin menyepi, jika dibandingkan dengan persoalan untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa politik. Namun, adakah dengan mendapatkan jentera pengaruh dan kuasa politik, Muslim, khususnya di zaman mutakhir ini, akan berhasil mendekati model generasi terbaik – iaitu generasi Rasulullah SAW dan para sahabat?
Hakikatnya, Islamisasi adalah persoalan yang sentiasa segar untuk dikupas, dihayati dan dilaksanakan. Misi Islamisasi, yang diwarisi sejak zaman Baginda SAW itu, merupakan persoalan dasar bagi setiap insan dan persoalan ini juga mampu mencakup seluruh perbincangan keilmuan. Cendekiawan yang berasal daripada tradisi keilmuan Islam telah lama menyedari bahawa ilmu bukanlah sesuatu yang tidak berpihak – kerana di sebalik sesuatu ilmu itu – ternyata ada ibu ketamadunan yang melahirkannya. Bahkan, pandangan alam yang merupakan akal budi sesuatu ketamadunan itu, tidak semestinya bertepatan dan serasi dengan ketamadunan yang dijana pandangan alam Islam.
Dewasa kini, globalisasi telah memaksa seluruh ketamadunan dunia untuk melutut di hadapan ilmu yang dilahirkan dari pandangan alam Barat. Sebagai contoh, Sains Moden Barat, sekarang disanjung sebegitu tinggi sebagai kayu ukur kemajuan sesebuah tamadun. Kepesatan perkembangan Sains Moden oleh Barat membuatkan tamadun-tamadun besar dunia, baik tamadun China atau India, pasrah menerima pengaruh kekuatannya. Malah, di sebalik ajaran Sains Moden itu, Barat secara langsung dan tidak langsung membentuk faham-faham penting, seperti kebahagian, kemajuan, keindahan, kosmologi – mengikut acuan pandangan alam mereka.
Daripada pengalaman sejarah, Imam Al-Ghazālī diangkat menjadi Hujjat’ul-Islāmatas hasil usahanya mengislamisasikan permasalahan ilmu falsafah daripada ketamadunan Yunani (yakni Barat) dengan begitu mendalam – yakni dengan menolak perkara yang berbahaya dan mengambil apa yang cocok dengan pandangan alam Islam. Dua buah karya agung yang membuktikan ketelitian al-Ghazālī dalam wacana ini adalah Munqidz min al-Dalāl dan Tahāfut al-Falāsifah – yang harus diberi perhatian oleh penuntut ilmu yang bertunjangkan pandangan alam Islam. Leluhur keilmuan Islam disinambungkan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dan beliaulah mempelopori wacana Islamisasi mutakhir ini. Al-Attas, dengan karya-karya agungnya seperti Prolegomena to Metaphysics of IslamIslam and Secularism dan Risalah untuk Kaum Muslimin menjadi rujukan utama para penggerak gagasan Islamisasi dalam menghadapi serangan terhebat daripada ketamadunan Barat.
Keaslian Al-Attas dalam projek Islamisasi ini adalah dalam mengenal pasti masalah paling dasar umat Islam – iaitu masalah kekeliruan ilmu dan kehilangan adab, serta mencadangkan penyelesaiannya secara jelas, sistematik dan mendalam. Sungguh, formulasi gagasan Islamisasi yang dibawa oleh Al-Attas bukan sahaja terhad sebagai sebuah projek pembaharuan agama Islam, iaitu yang membangkitkan semangat dan merubah nasib umat Islam pada masa ini (sepertimana yang lazim disemboyankan oleh kelompok pembaharu agama, sama ada di kalangan ulama mahupun modenis). Malah, bukan sekadar penampakan rupa Islami dalam ruang awam (public sphere) pada pelbagai cabang kehidupan yang popular di kalangan masharakat – yakni rupa berpakaian, cara pergaulan, dampak kesenian, nada penulisan dan sebagainya. Namun, ia merupakan satu projek ilmiah yang serius yang merangkum aspek pemikiran dan bahasa, pendidikan, sejarah, kebudayaan, sastera dan sains dalam peradaban Islam.
Untuk itu, beliau telah mendefinisikan ketamadunan Barat dan menghuraikan ancaman sekularisme, yang menjadi punca utama kepada masalah ini. Menurut Al-Attas, ketamadunan Barat ditakrifkan sebagai peradaban yang berkembang daripada percampuran pelbagai kebudayaan, falsafah, nilai dan aspirasi Yunani dan Rom Kuno, penyatuannya dengan ajaran dan keagamaan Yahudi dan Kristian dan dikembang dan dibentuk oleh orang Latin, Germanik, Celtik dan Nordik [1]. Seterusnya, Al-Attas mengenal pasti ciri ulung yang dipunyai oleh ketamadunan Barat yang paling berbahaya kepada pandangan alam Islam – iaitu  proses sekularisasi (baca de-islamisasi). Proses sekularisasi ini bermaksud penghapusan kesucian dan kemutlakan nilai-nilai agama, peniadaan kesucian dan kewibawaan agama dari politik dan penghilangan pesona ruhani dari alam tabii [2].
Dalam menyelesaikan kemelut pemikiran ini, Al-Attas mencadangkan agar khazanah tradisi keilmuan Islam diangkat semula. Di dalam karyanya, Islam and Secularism, Al-Attas menjelaskan bahawa Islamisasi membawa makna – pembebasan manusia yang diawali dengan pembebasan dari warisan magis, mitos, anismisme dan budaya yang bertentangan dengan Islam, dan dituruti dengan pembebasan dari kawalan sekular terhadap akal dan bahasanya. Insan yang bergelar Muslim ini akan bebas, menjadi insan sejati yang melakukan segala tindak-tanduk menurut kesedaran ruhaninya, bukan tunduk kepada tuntutan-tuntutan badaniyah yang cenderung kepada yang sekular atau tindakan yang menzalimi diri atau fitrah asalnya [3]. Kitab Suci Al-Qur’ān dan Sunnah dijadikan teras rujukan sumber utama keilmuan dan penayangan Realiti, kemutlakkan nilai dan panduan perundangan. Bahkan, pemahaman ajaran wahyu ini adalah difahami dan diwarisi daripada tradisi keilmuan Islam yang telah disempurnakan oleh generasi terbaik insan – generasi Rasulullah SAW dan para sahabatnya – melalui para ilmuan yang berwibawa dan cendekiawan yang ahli dalam bidangnya.
Projek Islamisasi didayakan dengan penubuhan universiti yang bersifat kullī(menyeluruh) yang berperanan sebagai pusat keilmuan untuk membahaskan dan mengajar ‘ilm farḍ ‘ain (ilmu prasyarat) di peringkat tinggi agar ia mencerahkan para penuntut ilmu akan pandangan Islam terhadap Realiti dan Kebenaran. Pada masa yang sama, ilmu-ilmu lain yang digolongkan sebagai ‘ilm farḍ kifāyah (ilmu sains), diatur mengikut keutamaannya terhadap diri, negara dan umat Islām. Dengan ini, diri Muslim itu akan mempunyai asas yang kukuh untuk menyaring dan menapis ilmu daripada luar dengan adil, di samping membuat pengkhususan keilmuan yang selari dengan keperluan masharakatnya. Akhir matlamat penubuhan universiti ini adalah untuk melahirkan insan yang baik yang secara langsung dan tidak langsung akan membentuk masharakat yang baik.
Dengan panduan daripada guru yang berwibawa serta perancangan wacana Islamisasi yang rapi, gerakan Islam akan lebih terarah dan berisi. Umat Islam tidak lagi dikelabui dengan kekeliruan tentang letak duduk agamanya dalam setiap lapangan keilmuan, malah umat Islam akan kembali menjadi rujukan ketamadunan yang memberi manfaat kepada manusia seluruhnya.
Komentar:
Ada sesetengah pihak yang mendakwa bahawa masharakat telah menjadi terlampau defensif, kerana ruang perbincangan dan wacana ditutup daripada aliran-aliran asing (seperti komunismesosialisme dan sebagainya), dan hanya dibuka pada satu aliran wacana sahaja (seperti Islamisasi). Oleh itu, pihak ini cuba menawarkan penyelesaian, dengan menyarankan bahawa perbincangan haruslah dibuka seluas-luasnya dan pilihan akan dipulangkan kepada kebijaksanaan masharakat itu kembali.
Penyelesaian ini mengandaikan bahawa masharakat yang dilanda kekeliruan tentang faham-faham asas mengenai dirinya dan agamanya boleh dicerahkan dengan mendedahkan mereka kepada tinjauan perspektif atau pendekatan yang beraneka rupa mengenai sesuatu idea atau persoalan, supaya sesuatu isu atau permasalahan itu dapat diselidiki dan digarap dari pelbagai sudut.
Kami menyanggah sepenuhnya cadangan tersebut kerana sifat keadilan mengkehendaki bahawa seseorang yang keliru haruslah terlebih dahulu ‘dibebaskan’ daripada kekeliruannya. Ini bererti,
  1. ia harus menilai dan memisahkan apa yang benar daripada apa yang salah daripada kekusutan pemikirannya,
  2. kemudian memelihara dan memperkemas apa yang benar serta menolak dan memperbetul apa yang salah,
  3. kemudian, barulah dapat didirikan apa yang benar tanpa perlu dikhuatiri ia akan dihambat oleh salah faham ataupun kekaburan.
Misalan mudah, andai kata kita pergi ke pasar raya untuk membeli makanan – jenama apakah yang mahu kita pilih, daripada 10 tin sardin yang ingin kita nikmati? Bukankah sebelum kita dapat membuat pilihan, harus jelas dalam fikiran kita apakah cita rasa peribadi kita tentang sardin supaya lambakan jenama sardin yang terpamer di hadapan mata kita tidak akan menjadikan kita keliru atau buntu dalam membuat pilihan yang baik?
Menurut erti kata demokrasi, tiada sempadan dalam memperoleh maklumat. Namun, pada masa yang sama, demokrasi tidak mempunyai kuasa untuk menentukan mana yang benar dan palsu [4]. Ini termasuk juga ruang awam, yang tersedia dan menjadi tunjang sesebuah demokrasi, yakni memberi ruang untuk pelbagai pandangan dibentangkan – free market of ideas [5] – dan mencetuskan capaian maklumat yang beraneka ragam. Meskipun begitu, pada akhirnya, tidak berguna untuk manusia itu untuk sekadar memiliki lambakan maklumat kerana manusia bukannya bekas bergerak untuk menyimpan maklumat [6]. Hakikatnya, manusia adalah makhluk yang mempunyai akal untuk memilih dan menjalinkan maklumat dan memberi dan memperoleh makna daripadanya.
Pilihan itu sebenarnya kembali kepada kita, yakni manusia, yang berakal tentunya. Pilihan itu seharusnya bertepatan dengan apa yang dipegang, kerana pegangan itu merupakan jati diri asasi yang tidak boleh dilepaskan. Malah, pilihan itu juga menitikberatkan perihal kepentingan – manakah yang lebih penting dan apakah yang tidak penting. Jika tidak, selamanya manusia menjadi seperti komputer, yang mempunyai lambakan maklumat yang akhirnya tidak bermakna langsung kepada dirinya.
Karangan di atas adalah rumusan penting Forum Lorong Tengah (FORLOT) Siri-4, yang bertajuk Gagasan Islamisasi vs Dinamika Sains dan Kajian Sosial Moden, anjuran PKPIM di Universiti Islam Antarabangsa pada 5 Mac 2012 yang lalu.

[1] Al-Attas, Islam dan Sekularisme, diterjemah oleh Institut Pemikiran Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Bandung 2011.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4]  Lihat esei pendek bertajuk Democracy is not a Truth Machine dalam mana penulis membuat pembezaan yang mendasar di antara kelebihan demokrasi untuk menghimpun, mengumpul dan menyebar pelbagai pandangan yang berlainan mengenai sesuatu perkara, dengan kelemahan demokrasi untuk menilai, menyaring dan memilih pandangan yang benar di antara kesemua pandangan-pandangan yang ada itu. Esei ini boleh dicapai menerusi pautan http://www.philosophersbeard.org/2010/11/democracy-is-not-truth-machine.html.
[5] Namun tidak jelas samada pasar yang dimaksudkan dalam perumpamaan ini lebih menyerupai sebuah pasaraya moden – di mana barangannya tersusun rapi mengikut jenis dalam seksyen tertentu – ataupun seperti sebuah pasar malam – di mana penjual yang menawarkan barangan atau khidmat yang jauh berbeza boleh diletak bersebelahan satu sama lain. Menarik untuk ditimbulkan persoalan sama ada sifat institusi pengajian tinggi di negara kita, khususnya universiti, lebih hampir sifatnya dengan sebuah pasaraya moden ataupun pasar malam dari segi jenis, keutamaan dan susun atur program pengajian yang ditawarkan.
[6] Untuk suatu penelitian yang kemas dan menyeluruh tentang kesan fenomena lambakan maklumat yang berlaku akibat kemajuan teknologi maklumat, lihat esei bertajuk “Is Google Making Us Stupid?” karya Nicholas Carr yang boleh dicapai melalui pautan http://www.theatlantic.com/magazine/archive/2008/07/is-google-making-us-stupid/6868/.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...