Oleh: Muhammad Syukri Rosli
 http://hakim.org.my/blog/?p=308#more-308
Kompleks Madrasah Mustansiriyyah yang dikatakan
menyamai Kompleks Madrasah Nizamiyyah
menyamai Kompleks Madrasah Nizamiyyah
Disediakan oleh Muhammad Syukri Rosli
Pada 26 April 2012 yang lalu, Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) telah 
menganjurkan wacana bersiri yang bertajuk Niẓām al-Mulk dan Madrasah 
Niẓāmiyyah, bertempat di Pejabat Media HAKIM, Seksyen 15 Bandar Baru 
Bangi. Wacana pertama dalam siri wacana intelektual ini telah 
disampaikan oleh Ustaz Asyraf Isyraqi, Felo HAKIM.
“Niẓām al-Mulk masih kurang dikenali oleh masyarakat, tetapi beliau 
telah membawa pembaharuan besar dalam sejarah,” kata Ustaz Asyraf, 
semasa memulakan pembentangannya. Beliau menjelaskan bahawa beliau 
memilih judul ini dalam kajian kedoktorannya kerana meyakini bahawa 
Niẓām al-Mulk bertanggungjawab membangunkan Madrasah Niẓāmiyyah, sebuah 
madrasah sistematik yang pertama dalam sejarah Islam.
Mengenali Diri Niẓām al-Mulk
Kehidupan Niẓām al-Mulk dilatari dengan pelbagai kisah. “Niẓām” 
adalah gelaran yang diberikan kepada al-Ḥasan ibn ‘Alī ibn Isḥaq, yang 
juga dikenali sebagai Abū ‘Alī atau al-Ṭusī. Niẓām al-Mulk dilahirkan di
 Ṭus (sebuah kota yang berdekatan dengan Naisapur) pada 1018 M. Beliau 
berasal daripada daripada keluarga yang sederhana, di mana bapanya 
adalah seorang dihqan (pengutip cukai tanah kerajaan Kesultanan Ghaznawi dan Saljuq), manakalah ibunya telah meninggal semasa beliau kecil.
Beliau membesar bersama ayahnya dan kehidupanya tidak semewah 
kanak-kanak lain. Keluarganya berhadapa dengan pergolakan politik – pada
 waktu itu sedang berlaku pertukaran kuasa daripada kesultanan Ghaznawi 
kepada kesultanan Seljuk. Apabila ayahnya meninggal dunia, Niẓām al-Mulk
 tidak mewarisi apa-apa pun hartanya.
Latar Pendidikan Niẓām al-Mulk
Pendidikan Niẓām al-Mulk bermula dari rumah dan apabila berumur 11 
tahun, beliau belajar daripada ‘Abd al-Ṣamad al-Fanduhī dan kemudian 
dengan Ḥibatullāh al-Naisaburī, kedua-duanya adalah ilmuwan mazhab 
Shafi‘ī. Beliau kemudian meneruskan pengajiannya di Bukhara, di mana 
dalam perjalanan ke sana, beliau bertemu dengan ilmuwan Ṣufī, Abū Sa‘īd 
Abu al-Khayr. Beliau juga mempelajari ḥadīth dari sejumlah ilmuwan 
Hadis. Semasa menjawat jawatan perdana menteri kesultanan Seljuk, beliau
 mendampingi ilmuwan-ilmuwan seperti Imam al-Haramayn al-Juwainī, Imam 
Abu Ishaq al-Shirazi, dan Imam al-Ghazālī. Sungguhpun dilaporkan beliau 
mengambil hadith ḥadīth daripada ilmuwan shī‘ah, namun beliau tidak 
boleh dinisbahkan kepada aliran shī‘ah kerana secara mutawatir, beliau 
dinisbahkan oleh pelbagai catatan-catatan ilmuwan dan sejarah sebagai 
beraliran Asha‘irah dan bermazhab Shafi‘ī.
Ketokohan Niẓām al-Mulk
Beliau merupakan seorang tokoh kepimpinan dan keilmuan. Dikhabarkan 
bahawa beliau pernah mengajar ḥadīth-ḥadīth Nabi di Jāmi‘ al-Maḥdi dan 
di Madrasah Niẓāmiyyah. Antara karya yang terkenal beliau, Siyasat Nameh
 yang dikarang dalam bahasa Parsi –bermaksud buku tentang panduan 
pemerintahan. Dalam karyanya ini, beliau membandingkan dan cuba 
menggabungkan tradisi-tradisi kepimpinan dan pemerintahan yang terdapat 
dalam dua ketamadunan besar – Islam dan Parsi. Kitabnya ini telah 
dipilih oleh khalifah sebagai panduan untuk pentadbiran negara. Imam 
al-Ghazālī, yang mengarang kitab Naṣiḥat’ul-Muluk, dilihat seolah-olah mengambil Siyasat Nameh sebagai model pengarangannya.
Niẓām al-Mulk merupakan seorang yang sangat taat dan berpegang kuat kepada agama. Di dalam al-Kamil fī al-Tarikh,
 beliau diceritakan begitu menjaga ibadah solat, puasa Isnin dan Khamis 
dan sangat bimbangkan azab akhirat. Beliau juga pernah dipetik berkata, 
“Alangkah baiknya aku ada sebuah masjid dan menghabiskan umurku di sana 
untuk beribadah.” Beliau juga merupakan seorang yang sangat pemaaf. 
Semasa beliau ditikam di pinggang oleh pembunuhnya, beliau sempat 
berpesan kepada pengawalnya supaya tidak membunuh pembunuh itu – kerana 
beliau telah memaafkannya. Beliau juga ada mengutuskan surat-surat 
kepada anak-anaknya dan berpesan supaya mereka menjaga solat, puasa, 
menjaga akhlak, menuntut ilmu dan belajar bahasa Arab.
Sebagai seorang pemerintah, beliau juga akrab dengan ulama’. Beliau 
sering menganjurkan majlis yang menghimpunkan para ulama. Niẓām al-Mulk 
amat sedar martabatnya berbanding ulama’ dan beliau merendahkan dirinya 
di dalam majlis ilmu. Diceritakan bahawa beliau telah mempersilakan para
 ulama’ untuk menduduki tempat yang lebih tinggi dan menunggu guru yang 
mengajar dalam sesuatu majlis untuk duduk, sebelum beliau sendiri duduk.
 Pernah satu ketika, pegawainya menzahirkan kebimbangan kerana beliau 
kelihatan terlalu sibuk menganjurkan majlis ilmu. Namun, Niẓām al-Mulk 
menjawab bahawa, “Ilmu dan ulama’ itu adalah tiang kepada sebuah negara,
 jika tiang tidak kuat, maka runtuhlah agama itu.” Beliau juga dikatakan
 suka mendengar nasihat ulama’. Apabila beliau bertemu dengan Abu 
Abdullah Ismail al-Ansari al-Harawī untuk meminta nasihat, beliau 
dikhabarkan menangis ketika mendengar nasihat itu.
Kisah Tiga Orang Sahabat
Dikisahkan bahawa beliau bertemu dan bersahabat dengan Ḥassan 
al-Sabbah, seorang ketua gerakan Baṭiniyyah, dan ‘Umar al-Khayyam, 
seorang ahli astronomi dan penyair yang terkenal ketika mereka bertiga 
belajar bersama Hibat Allah al-Naysaburi. Telah diceritakan bahawa 
mereka bertiga mengikat perjanjian agar sesiapa di kalangan mereka 
bertiga yang berada di puncak kejayaan perlu membantu dua orang lagi 
rakannnya untuk mendapat kedudukan yang sama. Akhirnya, Niẓām al-Mulk 
mengecapi kejayaan tertinggi berbanding yang lain. Niẓām al-Mulk 
membantu ‘Umar al-Khayyam dengan melantiknya sebagai ahli astronomi 
negara dan bertanggungjawab terhadap balai cerap Malik Shah serta 
mengusahakan Sistem Kalendar Jalali. Niẓām al-Mulk juga membantu Hasan 
al-Sabbah untuk menjadi pegawai dalam kerajaan Sultan Malik Shah, 
malangnya Ḥassan al-Sabbah banyak mengkhianati tanggungjawab yang diberi
 sehingga akhirnya dibuang dan Hassan juga bertanggungjawab terhadap 
pembunuhan Niẓām al-Mulk.
Keterbukaan Fikiran Niẓām al-Mulk
Niẓām al-Mulk adalah seorang pemimpin yang berfikiran terbuka. Pada 
suatu ketika, telah berlaku pertelingkahan besar di antara pengikut 
mazhab Shafi‘ī dan pengikut mazhab Ḥanbalī, sehingga menyebabkan 
pertumpahan darah. Niẓām al-Mulk telah meminta salah seorang ulama’ 
bermazhab Shafi‘ī untuk tidak terlalu emosional dengan pihak yang 
bertentangan. Sungguhpun Niẓām al-Mulk sendiri bermazhab Shafi‘ī, namun 
beliau menegur dengan adil kedua-dua belah pihak.
Sebagai seorang perdana menteri kesultanan Seljuk, beliau amat 
menekankan bahawa untuk bersatu itu lebih baik daripada berlaku 
perpecahan. Tekad beliau membangunkan Madrasah Niẓāmiyyah adalah untuk 
bergerak ke arah kesatuan dan mengelakkan perpecahan dalam rakyat. 
Selain itu, beliau juga amat menitikberatkan kestabilan di dalam negara.
 Niẓām al-Mulk juga tidak menghalang kepelbagaian aliran pemikiran di 
dalam negara – namun ia tidak dilarang selagi mana ia tidak menyebabkan 
terjadinya huru-hara. Misalnya, beliau tidak menghalang kewujudan 
pelbagai madrasah bagi aliran-aliran yang lain di samping Madrasah 
Niẓāmiyyah yang khusus untuk aliran Ashairah dan mazhab Shafii. Akan 
tetapi, aliran Baṭiniyyah telah ditentang habis-habisan kerana ia lebih 
bersifat subversif dan mahu menumbangkan kesultanan Seljuk untuk 
mengambil alih pemerintahan.
Latar Politik Semasa Pemerintahan Niẓām al-Mulk
Kekhalifahan ‘Abbasiyyah telah melalui pelbagai fasa kerana ia 
dipengaruhi oleh wakil-wakil khalifah yang digelar sulṭān. Pada suatu 
ketika, tentera-tentera berbangsa Turki telah mengawal negara. Kemudian,
 ia dituruti oleh Kesulṭānan Buwayh, iaitu sulṭān-sulṭān keluarga Buwayh
 yang telah menjadikan khalifah sebagai boneka – yakni menjadikan 
baginda hanya sebagai simbol negara Islam dan kekuasaannya terhad dalam 
urusan-urusan keagamaan. Kesulṭānan Buwayh ini bermazhab Shi‘āh dan pada
 masa pemerintahannya, mereka telah mengambil kesempatan untuk 
membangunkan aliran Shi‘āh.
Setelah itu, Kesulṭanan Seljuk pula menggambil alih posisi sulṭān 
untuk khalifah ‘Abbasiyyah. Sulṭān-sulṭān Seljuk berasal daripada 
keturunan Turkiman. Mereka mengembalikan kehormatan kepada khalifah. 
Keturunan mereka baru sahaja memeluk Islām dan bermazhab Ḥanafī. Pada 
waktu mereka jugalah, hubungan antara khalifah dan sulṭān menjadi lebih 
baik.
Niẓām al-Mulk menjadi perdana menteri kepada dua orang sulṭān Seljuk,
 iaitu Alp Arsalan dan anak baginda, Mālik Shah I. Sebelum Arp Arsalan 
meninggal dunia, beliau telah berwasiat kepada Niẓām al-Mulk untuk 
menjadi perdana menteri untuk pewarisnya yang pada waktu itu masih 
berumur 18 tahun.
Latar Aliran Islam Semasa Pemerintahan Niẓām al-Mulk
Sebelum pemerintahan Niẓām al-Mulk, telah berlaku begitu 
banyak pertembungan aliran. Misalnya, aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah
 bertembung dengan aliran Shi‘āh, Mu’tazilah dan Asha‘īrah, Ḥanābilah 
dan Asha‘īrah, dan Mu’tazilah serta Ḥanābilah. Bilamana Niẓām al-Mulk 
mengambil alih pemerintahan, beliau telah berjaya mengurangkan 
pertembungan. Diceritakan pada waktu beliau, ulama’-ulama’ Asha‘īrah, 
Mu’tazilah dan Ḥanābilah boleh berjenaka antara satu sama lain di dalam 
sebuah majlis.
Niẓām al-Mulk juga bertanggungjawab mengambalikan kedudukan 
Asha‘īrah, setelah dipinggirkan oleh pemerintah sebelum ini yang 
bermazhab Mu’tazilah – yang telah melakukan penghinaan dan pengusiran 
ulama’-ulama’ Asha‘īrah. Niẓām al-Mulk telah memanggil semula semua 
ulama’-ulama’ Asha‘īrah dan menempatkan mereka di Madrasah Niẓāmiyyah.
Karya Niẓām al-Mulk
Dinisbahkan kepada beliau tiga karya iaitu Siyasat Nameh, Waṣaya (autobiografi), dan Safar Nameh (kitab pengembaraan beliau, dan kini telah hilang).
Kematian Niẓām al-Mulk
Setelah hampir 30 tahun memegang jawatan perdana menteri, Niẓām 
al-Mulk telah dibunuh oleh seorang pemuda Baṭiniyyah. Beliau merupakan 
mangsa pertama pembunuhan yang dilakukan oleh pergerakan ini. Ini 
berpunca daripada seorang sahabatnya, Ḥasan al-Sabbah yang telah 
diturunkan jawatan oleh sulṭān, lalu mengkhianati Niẓām al-Mulk – yang 
mengetahui banyak perihal dirinya. Ḥasan al-Sabbah merupakan seorang 
yang mampu membentuk pengikut yang fanatik, sehingga dikisahkan bahawa 
pengikutnya sanggup terjun gaung dan mati atas arahan beliau.
Institusi Pendidikan Sebelum Madrasah Niẓāmiyyah
Madrasah Niẓāmiyyah merupakan madrasah pertama dalam dunia Islam. Ini
 disebabkan oleh madrasah Niẓāmiyyah merupakan institusi pendidikan yang
 pertama dinaungi oleh pemerintah dan mempunyai sistem yang formal. 
Sebelum itu, terdapat institusi-institusi pendidikan yang juga dinamakan
 madrasah, tetapi ia bersifat persendirian dan diuruskan oleh guru 
utamanya. Selain itu, terdapat juga Salun Adabiyyat (Salun 
Kesusasteraan) yang merupakan majlis ilmu golongan elit yang terdiri 
daripada pembesar dan ulama. Terdapat juga kedai-kedai buku dan kitab. 
Selain itu, kawasan pedalaman juga merupakan institusi pendidikan – 
kerana para ilmuan mengembara ke kawasan pedalaman untuk memperbaiki 
bahasa ‘Arab dengan berjumpa dengan orang-orang kampung.
Tujuan Penubuhan Madrasah Niẓāmiyyah
Terdapat lima tujuan penubuhan Madrasah Niẓāmiyyah. Pertama, ia 
adalah untuk menjadi tempat mengumpulkan para ilmuan dan penuntut ilmu. 
kedua, untuk menyediakan penjawat awam yang berkualiti kepada negara, 
seperti jawatan Ḥakim, Qaḍī, penyair atau sasterawan. Ketiga, 
mengembalikan dan mempertahankan aliran Asha‘īrah. Keempat memastikan 
kestabilan pemerintahan dan keamanan negara. Kelima, mewujudkan 
kesejahteraan dan kesatuan umat Islam.
Ciri-ciri Pengurusan Madrasah Niẓāmiyyah
Madrasah Niẓāmiyyah ditadbir oleh pengurusannya sendiri. 
Dari segi pentadbiran, Madrasah Niẓāmiyyah diketuai oleh Walī atau Naẓir
 yang bertindak sebagai pemantau. Mutawallī pula adalah ulama’ utama dan
 menguruskan madrasah. Imām pula menguruskan masjid, dan Khazīn pula 
merupakan pustakawan yang dilantik daripada ilmuan yang mahir dalam 
bahasa ‘Arab. Ilmuan yang mahir dalam bahasa ‘Arab ini mempunyai 
kebolehan dalam memahami isi kandungan kitab dan mengenal pasti intipati
 karya untuk menjadi rujukan ilmuan. Madrasah Niẓāmiyyah juga mempunyai 
Mustakhdamīn, iaitu pekerja-pekerja am.
Ilmuan di Madrasah Niẓāmiyyah
Dari sudut keilmuan, Madrasah Niẓāmiyyah diketuai oleh seorang guru 
utama, yang digelah Mudarris. Beliau dibantu oleh Nā’ib Mudarris. 
Terdapat guru al-Qur’an yang bergelar Muqri’ dan guru Ḥadīth yang 
dipanggil Muḥaddīth, juga guru Bahasa Arab yang disebut Nahwi. Selain 
itu, terdapat jawatan Mu’īd yang merupakan pembantu kepada guru utama 
dan mereka terdiri daripada murid yang berjaya mencapai tahap saḥīh. 
Misalnya, Imām al-Ghazālī belajar di Madrasah Niẓāmiyyah di Naisapur dan
 menjadi Mu’īd kepada Imam Haramayn al-Juwaynī yang merupakan Mudarris 
di madrasah tersebut.
Dalam peringkat penuntut pula, mereka dibahagikan mengikut penguasaan
 terhadap ilmu. Terdapat penuntut ilmu di peringkat mubtadīn (rendah), 
mutawassitīn (pertengahan), dan muntahīn (tinggi). Penuntut ilmu di 
Madrasah Niẓāmiyyah dipanggil dengan gelaran faqih.
Pemilihan Ilmuan
Niẓām al-Mulk sendiri memilih dan meninjau ilmuan yang layak
 menerajui Madrasah Niẓāmiyyah. Diceritakan bahawa beliau sendiri 
mendengar pengajaran ilmu daripada Imām al-Ghazālī sebelum membawanya ke
 majlis khas di istana untuk menerima watikah pelantikan. Di sini, guru 
utama akan dikurniakan watikah pelantikan yang merupakan amanat dan 
penjelasan tugas sebagai guru utama. Khalifah akan memakaikannya dengan 
jubah akademik yang berwarna biru gelap dan dipakaikan dengan topi yang 
berbentuk songkok hitam. Kemudian, guru utama tersebut akan memberi 
syarahan perdana sempena pelantikannya sebelum diakhiri dengan jamuan 
ringan. Terdapat juga kes di mana seseorang guru utama itu dipecat 
kerana didapati menyeleweng harta madrasah dan jubah akademiknya telah 
diambil semula oleh pengurus madrasah.
Bidang Keilmuan di Madrasah Niẓāmiyyah
Terdapat lima bidang ilmu yang utama di Madrasah Niẓāmiyyah iaitu al-Quran, hadis, kalam, fiqh, dan bahasa Arab.
Bangunan Madrasah Niẓāmiyyah dan Rangkaian Niẓāmiyyah
Madrasah Niẓāmiyyah seumpama sebuah kompleks yang mempunyai dewan 
pengajian, kediaman pengurus dan ilmuan dan asrama penuntut ilmu. 
Terdapat juga masjid, perpustakaan, bilik untuk ilmuan, bilik untuk 
rehat, bilik memasak dan bilik peralatan. Di Madrasah Niẓāmiyyah juga 
ada pusat kesihatan dan pasar. Madrasah Niẓāmiyyah terletak di kawasan 
tumpuan masyarakat seperti berdekatan dengan istana, pasar harian, dan 
sebagainya.
Selain di Baghdad, terdapat rangkaian Madrasah Niẓāmiyyah di 
tempat-tempat lain seperti di Naisabur, Balkh, Isfahan, Herat, Marw, 
Amul Tabaristan, Basrah, ‘Askar Makram dan Mawsil. Di Isfahan, 
dikhabarkan bahawa ia merupakan madrasah yang paling cantik dan terletak
 bersebelahan dengan Masjid Jami‘ Isfahan.
Kemudahan dan Kemahsyuran Madrasah Niẓāmiyyah
Madrasah Niẓāmiyyah didanai oleh sumber waqf. Para pelajarnya diberi 
jumlah wang yang khusus dan ilmuannya disediakan dengan gaji yang 
khusus. Dikisahkan bahawa ulama’-ulama’ pada zaman itu berkeinginan 
untuk dilantik mengajar di sana. Apabila ilmuan menjawat jawatan di 
Madrasah Niẓāmiyyah, kedudukan mereka akan naik dan dihormati oleh 
khalifah. Dinyatakan bahawa ada ulama’ yang sanggup menukar mazhab 
semata-mata mahu dilantik ke Madrasah Niẓāmiyyah.
Madrasah Niẓāmiyyah juga berjaya menarik penuntut dari jauh, seperti 
Ibn Tumart yang berasal dari Maghribi. Madrasah Niẓāmiyyah juga berjaya 
melahirkan ilmuan-ilmuan besar Islām seperti Abu Hamid al-Ghazālī 
(Pengarang Ihya’ Ulum al-Din), Abu Sa‘d al-Sam‘ani (Pengarang al-Ansab),
 dan al-Fairuzabadi (Pengarang al-Qamus al-Muhit). Sekurang-kurangnya 
terdapat lebih dari 250 nama ilmuwan yang berkait dengan institusi ini 
sama ada sebagai guru, pelajar, mahupun pengurus.
Setelah beberapa lama, telah muncul Madrasah Mustansiriyyah yang 
menyaingi kemahsyuran Madrasah Niẓāmiyyah. Madrasah Mustansiriyyah 
menawarkan lebih banyak cabang ilmu yang agak menenggelamkan Madrasah 
Niẓāmiyyah. Namun, pada masa yang sama, Madrasah Niẓāmiyyah masih kekal 
sebagai pusat keilmuan yang menjadi tumpuan dunia Islam dan kewujudannya
 didapati berlangsungan sehingga kurun ke-9 H. Madrasah Niẓāmiyyah boleh
 dilihat sebagai model rujukan kepada pembangunan madrasah di dunia 
Islam seperti Madrasah Mustansiriyyah, Madrasah Nuriyyah al-Kubra, 
Madrasah Nasiriyyah, dan lain-lain. Malah boleh juga dilihat 
mempengaruhi pembangunan institusi pendidikan tinggi dalam era 
pertengahan dunia Barat seperti Universiti Bologna dan Paris.
 
Amat bermanfaat dan memudahkan saya untuk membuat kajian tentang ini. Terima kasih.
ReplyDelete