Tuesday 29 May 2012

Sedikit bingkisan berkenaan ulamaʾ haraki/siasah dan faham perubahan yang didakyah mereka


Oleh: Wan Ahmad Fayhsal

Gelaran atau klasifikasi ulamaʾ haraki/siasah ini tidak pernah ada dalam sejarah Islam. Seperti yang dijelaskan olem Imām ʿAbd Qāhir al-Baghdādī dalam al-Farq bayna’l-Firaq[1], tidak disebut pun "Ulama Haraki/Siasah" sebagai salah satu kumpulan yang tergolong dalam Ahl Sunnah seperti yang lainnya ya’ni Sufiyyah (Sufis),Mutakallimun (Theologian)Fuqahaʾ (Jurists)Muhaddithun (Prophetic Traditionists), Mufassirun (Exegetes).

Adapun ulama' yang terlibat dan bercakap dengan hal-hal siasah itu pada masa lalu sebenarnya adalah para Fuqahaʾ par excellence seperti al-Māwardī, al-Ghazālī. Harus diingat disini yang berjuang menentang penjajah seperti Amīr ʿAbd al-Qādir al-Jazāʾirī[2], al-Sanusi[3] itu bukanlah ulama haraki/siasah kerana mereka berjuang dan berjihad bukan sebagai politikus. Pendek kata mereka tak bercakap sebagai seorang politikus apatah lagi mencalonkan diri untuk menjadi penguasa.

Pada hemat saya Ulamaʾ Haraki/Siasah seperti yang dicanang hebat kini – khusus dari kalangan golongan ilmuan agama yang terjun dalam parti-parti politik (harakah Islamiyyah) merupakan satu perkara baharu yang agak terkeluar daripada pengklasifikasian tradisi keilmuan Islam.  Ianya timbul daripada cabaran dan kesan zaman moden, bukan warisan sejarah dan tradisi kita.

Saya terfikir dan berusaha mencari jawapan apakah pengklasifikasian sebegini sesuatu yang baik atau sebaliknya? Ini kerana kalaulah ribuan tahun sudah berlalu sejarah kaum Muslimin tetapi tiada pula dikalangan ulamaʾ kita yang mengelaskan diri atau sebahagian daripada mereka sebagai “ahl-haraki/siasah”, masakan tidak kita yang baru ini memberanikan diri mewujudkan serta mengabsahkan (crystallization) klasifikasi sebegini?

Ingin saya tekankan di sini bahawa ulamaʾ kita yang terdahulu – seperti dijelaskan dan dipertahankan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas, bukan calang-calang insan. Mereka amat berhati-hati dalam menamakan sesebuah disiplin ilmu apatah lagi sesuatu hakikat kerana sifat Pengislaman itu memang amat menitik beratkan adab terhadap sesuatu. Ini amat kena dengan ayat 31 dalam sūrah al-Baqarah bahawa “Allah mengajar Nabi Adam kesemua nama” (ʿallama ʾĀdama al-āsmāʾa kullahā) – dan nama itu senantiasa merujuk kepada hakikat, bukan sekadar nama.  Sesuatu taʿrīf itu merujuk kepada ilmu bukan sekadar penamaan dan pendefinisian yang tiada asas dan batas.

Saya bukan ingin memberi penilaian berbentuk fiqhiyyah terhadap perkara ini cuma ingin benar-benar menilai apakah wajar klasifikasi sebegitu diperteguhkan dan menjadi sebahagian daripada “kumpulan” ulamaʾ yang tersegam atur dalam penjelasan-penjelasan oleh ulamaʾ terdahulu sepertinya Imām ʿAbd Qāhir al-Baghdādī.

Tidak cukupkah golongan fuqahaʾ, mutakallimun, sufi, muhaddithun, mufassirun itu untuk diangkat sebagai kumpulan-kumpulan ulamaʾ tanpa perlu mewujudkan lagi satu “label” baru tersebut? Bukankah pada hakikatnya seperti yang dijelaskan tadi bahawa yang memperjuangkan keadilan Islam dalam lapangan siasah sebenarnya adalah fuqahaʾ?

Antara perkara yang saya amat musykil ialah mengapa ribuan tahun lamanya para ulamaʾ kita, semacam mana teruk dan kegentingan keadaan umat Islam dalam berhadapan dengan penguasa yang zalim tidak pernah mendambakan diri mereka untuk menggantikan penguasa tersebut.

Ya, mereka menentang penguasa dan sebarang bentuk kezaliman tetapi tiada sesekali mereka menjadi ahl-haraki/siasah seperti yang ada pada hari ini – ya’ni golongan ulamaʾ yang mencalonkan diri mereka untuk bertanding menjadi pemimpin (umarāʾ).

Saya hairan hatta Shāh Walī Allāh yang hebat itu pun tidak pernah mengaku atau melabel diri beliau sebagai ahl-haraki/siasah. Walhal karyanya Hujjat Allāh al-Bāligha[4] yang menjelaskan kerangka islāh siasah-akhlaqiah-ʿilmiyyah itu luar biasa sekali khusus berhubung teori irtifāqat-nya[5].

Dan saya tertanya-tanya, mengapa mereka-mereka yang mengabsahkan diri mereka sebagai ulamaʾ haraki/siasah ini tidak mengangkat gagasan yang ditinggalkan ulamaʾ yang tidak menamakan mereka sendiri sebagai ulamaʾ haraki/siasi – seperti Shāh Walī Allāh, untuk diperjuangkan dilapangan siasah? Apa yang melayakkan mereka mendapat gelaran ulamaʾ haraki/siasah? Apa yang membezakan mereka dengan Shāh Walī Allāh yang serba unggul dalam pelbagai bidang agama hatta ilmu siasah yang sangat hebat hujjah dan huraian secara sistemik itu?

Saya bukan mempersoalkan kewibawaan mereka yang digolongkan atau mereka yang cuba mewujudkan seterusnya mengabsahkan satu lagi kelompok ulamaʾ dalam Ahl Sunnah yaʾni sebagai ulamaʾ haraki/siasah dari segi keilmuan tetapi saya benar-benar ingin tahu apakah amat-amat diperlukan untuk kita mewujudkan satu klasifikasi baru seperti itu yang dimana ulamaʾ terdahulu yang lebih hebat seperti Shāh Walī Allāh sendiri tidak mendambakan gelaran sebegitu walaupun beliau lebih layak untuk memiliki gelaran tersebut jika benar-benar boleh diwujudkan dan diabasahkan. Pasti ada sebab dan hujjah mengapa ulamaʾ dahulu tidak langsung mewujudkan dan mengabsahkan satu kelompok ulamaʾ yang digelar dan diklasifikasikan sebagai ulamaʾ haraki/siasah.

Mungkin ulamaʾ dulu sedar bahawa tugas mendapatkan kuasa sebenarnya membuka fitnah kepada “institutsi ulamaʾ”. Walaupun mereka kalau dikira kelayakkan ilmu dan pengalaman secara sebenar-benarnya sudah tentu terlebih layak daripada umaraʾ zaman mereka itu, tiada pula didambakan kekuasaan dalam apa bentuk alasan, hujjah sekalipun untuk mereka meletakkan diri mereka pada jalan perebutan kuasa daripada pemimpin-pemimpin yang bermasalah itu.

Harus difahami institusi ulamaʾ yang saya maksudkan ini jangan langsung disamakan dan disalah erti dengan peranan golongan Ayahanda (Fathers) dalam struktur Kegerejaan/Kerahiban (The Church) atau Kebrahaminan (Brahmin). Struktur ini yang menimbulkan fitnah kepada sekalian agama seperti pengalaman pahit-getir Gereja Katolik yang menatijahkan Reformasi dan mazhab Protestantisme dalam agama Kristian yang mana golongan agama menjadi pemerintah menghasilkan theocracy yang sama sekali tiada dalam Islam. Baca sajalah asal usul perpecahan agama Kristian dan kesannya dalam melahirkan faham sekularisme di dunia Barat ternyata anda akan memahami mengapa saya kritikal dengan ulamaʾ yang menuntut ingin jadi penguasa.

Saya katakan fitnah kerana peranan “institusi ulamaʾ” itu senantiasa berada di “atas” lapangan siasah. Dari segi kuasa memang Sultan, Wazir dan segala macam jawatan pemerintahan itu melebihi kuasa ulamaʾ dalam lapangan siasah tetapi hakikatnya ulamaʾ lebih tinggi daripada mereka semua kerana kemulian jawatan ulamaʾ itu tiada mampu diukur oleh harta dan kedudukan – apatah lagi masani dimana lapangan siasah demokrasi itu lebih membawa kepada perpecahan tanpa ada pihak yang mengemudi setiap perubahan yang sepatutnya ditunjangi oleh institusi ulamaʾ. Dengan mencampuri urusan siasah melebihi had yang sepatutnya, kecenderungan untuk berat sebelah dan campur aduk peranan, sama ada ulamaʾ itu bercakap sebagai seorang ʿalim atau sebagai seorang ahl-siasah itu akan senantiasa timbul.

Saya amat terhimbau dengan kisah Said Bediuzzaman Nursi yang amat terkenal dengan ungkapan istiʿādhah “aku berlindung daripada Syaitan dan politik”. Setakat yang telah saya telaah kisah hidup beliau ternyata ada benarnya apa yang didoakan tersebut. Said Bediuzzaman Nursi ceritakan bilamana sistem khilafah sudah tumbang dan demokrasi di Turki mula berpucuk, banyak ulamaʾ yang mula menganggotai parti-parti politik dan bersaing sesama mereka secara sengit.[6]

Sifir (atau lebih tepas calculus) di lapangan siasah apatah lagi dalam latar demokrasi moden ini senantiasa mewujudkan kecenderungan setiap perwakilan yang bertanding untuk saling menjatuhkan antara satu-sama lain. Said Nursi ketika itu melihat ulamaʾ yang dahulunya amat waraq dan berakhlaq telah bertukar menjadi “political animal” ketika di pentas politik seperti memburuk-burukkan pesaing/lawannya antara satu sama lain yang juga ulamaʾ!

Perkara seperti ini seolah-olah tidak dapat dielakkan kerana kerusi kekuasaan itu hanya satu dan tiada mampu dikongsi maka mereka harus berusaha untuk mendapatkan kerusi tersebut at all cost!

Atas alasan apa semua ini dilakukan? Sudah tentu untuk tegakkan agama, bangsa dan negara tetapi bila keadaanya sudah teruk begitu apakah mungkin niat mereka benar-benar tulus murni seperti awalnya atau benar-benar sudah menjadi satu “political animal”?

Dan kalau kita kaji latar persejarahan timbulnya arus ulamaʾ menyertai medan siasah ini sebagai ahl siasah atau politikus, banyak timbul selepas era wujudnya gerakan Pan-Islamisme seperti yang dibawa Shaykh Muhammad ʿAbduh dan al-Afghani. Golongan ini sering melaungkan slogan pembaharuan dalam pelbagai rupa dan agenda. Saya lihat golongan yang mempertahankan pembaharuan (bidʿah) ini, atau lebih tepat golongan Maqsadiyyun – golongan yang sering mengangkat hujjah maqāṣid  al-sharīʿahsebagai yang termutlak dengan memborong semua perkara seolah-olah boleh diperturunkan (reductionist) kepada juzuk itu – semata-mata ingin memenuhi dan menuntut penyesuaian kepada perubahan zaman.

Walhal mereka tiada sedar yang arus perubahan yang dibawa ini sebenarnya, seperti kata Prof. Al-Attas bersifat ketamadunan[7], tiada ianya bebas nilai dan harus benar-benar cermat memahami dan membanding beza apa yang sebenarnya milik kita atau tiada mampu dimiliki kita[8] kerana perbezaan dasari yang amat luas malah bertentangan pula dengan pandangan alam Islam.

Golongan ini seperti yang ditempelak oleh Prof. Al-Attas sering memberi alasan dan mengambil enteng para ulamaʾ dan Imam terdahulu[9] yang disangka huraian mereka itu sudah tidak “relevan” kerana konteks berbeda dan hujjah-hujjah yang sewaktu dengannya. Golongan ini pada hemat saya tidak mempunyai pandangan alam Islam yang teguh khusus dalam memahami zeitgeist zaman moden dari pucuk akarnya yaʿni Ketamadunan Barat seterusnya bertindak “menyalahkan” sejarah lampau – menyalahkan taṣawwuf, menyalahkan pintu ijtihād telah tertutup, walaupun tidak dinafikan ada beberapa hal yang betul berkenaan dakwaan ini tetapi telah dianjalkan ke peringkat paling ekstrim yang kononnya menatijahkan kemunduran umat Islam masani.

Seolah-olah slogan “hum rijāl wa nahnu rijāl aiḍān” (they are men and we are men too) boleh dijadikan alasan untuk menyama ratakan ulamaʾ terdahulu ke tahap mereka kini yang sudah tentu lebih rendah daripada maqamat ulamaʾ terdahulu. Ini adalah maʿna kehilangan adab yang dihujjah panjang oleh Prof. Al-Attas.[10] Maka slogan “perubahan” itu sering didendangkan tetapi mereka ini tiada memahami benar apa itu perubahan pada hakikatnya.

Adakah dakwaan saya ini kosong tanpa bukti? Tidak, kerana saya sedang merenung secara mendalam memahami setiap tokoh-tokoh besar dikalangan ulamaʾ dan aktivis daʾwah yang mengaku sebagai pembawa perubahan (reformist) tatkala fajar modenisasi milik Barat baru menyinsing di dunia Islam bermula pertengahan abad ke-19 hinggalah awal abad ke-20 Masihi.

Saya sedang menelaah kisah Ibn ʿĀshūr[11] dalam makalah yang dikarang oleh Basheer M. Nafi, juga beberapa buah buku yang mengkaji pertembungan budaya antara kaum Muslimin ketika bermulanya arus modenisasi secara besar-besaran di dunia Islam seperti karyanya Rifāʻa Rāfiʿ al-Ṭahṭāwī,[12], Khayr al-Dīn Pasha al-Tūnisī[13], Ibrahim Abu-Lughod[14], juga tesis MA Dr. Bazlie Shafie tentang Muhammad Abduh[15].

Dapatan awal bagi saya setakat ini memang amat menarik dan benar-benar mengabsahkan kritikan Prof. Al-Attas terhadap golongan modenis ini. Cukup sekadar ini dan harap para pembaca dapat fikir-fikirkan.

Wan Ahmad Fayhsal
16 Mei 2012, 6.00pm


[1] Baghdādī, ʻAbd-al-Qāhi. al- Farq baina 'l-Firaq wa-Bayān al-Firqa al-Nājiyah minhum. (Bairūt: Dār al-Āfāq al-Ǧadīda, 1973) terj. Kate C. Seelye. Moslem Schisms and Sects: (al-fark Bain Al-Firak) Being the History of the Various Philosophic Systems Developed in Islam. (New York: AMS Press, 1966)

[2] Murād, Barakāt M. Al-Amīr ʿAbd al-Qādir Al-Jazāʼirī: Al-Mujāhid Al-Ṣūfī. Madīnat Naṣr [Cairo: al-Ṣadr li-Khidmāt al-Ṭibāʻah, 1990)

[3] Bayyūmī, Muḥammad A. Sanusiyyah: A Sociological Study of an Islamic Movement. (Beirut: Dar An-Nahda Al-Arabiya, 1981), rujuk juga El-Horeir, Abdulmola S. Social and Economic Transformations in the Libyan Hinterland During the Second Half of the Nineteenth Century: The Role of Sayyid Aḥmad Al-Sharīf Al-Sanūsī. (PhD Dissert. 1981), juga Vikør, Knut S. Sufi and Scholar on the Desert Edge: Muḥammad B. ʻalī Al-Sanūsī and His Brotherhood. (Evanston, Ill: Northwestern University Press, 1995)

[4] Walī, Allāh, and Marcia K. Hermansen. The Conclusive Argument from God: Shāh Walī Allāh of Delhi's Ḥujjat Allāh al-Bāligha. (Leiden: E.J. Brill, 1996) rujuk juga Muhammad, Ghazali. The Socio-Political Thought of Shāh Walī Allāh. (Islamabad: International Institute of Islamic Thought, 2001)

[5] Aislahi, Abdul A. Stages of Socio-Economic Development: Shah Wali-Allah's Concept of Al-Irtifaqat. , 1989. http://mpra.ub.uni-muenchen.de/29628/1/MPRA_paper_29628.pdf 

[6] Rujuk  Şükran, Vahide, dan Ibrahim M. Abu-Rabiʻ. Islam in Modern Turkey: An Intellectual Biography of Bediuzzaman Said Nursi. (Albany: State University of New York Press, 2005), juga Turner, Colin. I seek refuge in God from Satan and politics..."A Nursian perspective on the role of religion in state and society.http://nursistudies.com/teblig.php?tno=447, juga Zeynep Akbulut Kuru, Ahmet T. Kuru. Apolitical Interpretation of Islam: Said Nursi's Faith-Based Activism in Comparison with Political Islamism and SufismIslam and Christian–Muslim Relations Vol. 19, Iss. 1, 2008

[7] “Prof. Al-Attas alluded to this shift of semantics happening due to us – the Muslims – are flowing in the same stream that ‘another civilization’ has created, swimming in the fast current of change. This ‘another civilization’ that is dominating in the world today is none other than Western civilization that made freedom as a ‘belief’ in itself. The human rights itself is the result of deification of Man – where man himself is the measure of all things.” rujuk Wan Ahmad Fayhsal, Revisiting “Meaning and Experience of Happiness in Islām” http://hakim.org.my/blog/?p=248

[8] Rujuk Goody, Jack. The Theft of History. (Cambridge: Cambridge University Press, 2006) yang menceritakan bagaimana ilmuan Barat khususnya Orientalis mendakyahkan faham kebenaran dan hakikat ke atas ilmu-ilmu dari tamadun lain seperti pendakyahan faham masa dan ruang dalam persejarahan ketamadunan dunia.

[9] Rujuk temubual Hamza Yusuf dengan Prof. Al-Attas di Youtube minit 8:02 http://youtu.be/L5pyXqZq4E0?t=8m22s

[10] Rujuk kritikan tajam Prof. Al-Attas dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin (Kuala Lumpur: ISTAC, 2001) ms. 144-167; sebahagian daripadanya boleh dirujuk dalam nukilan blog saya ini: http://rausyanfikir.com/2011/08/keseluruhan-penjelasan-ini-dipetik.html, juga rujuk Islām and Secularism (Kuala Lumpur: ABIM, 1978) ms. 123-126.

[11] Basheer M. Nafi, Ṭāhir ibn ʿĀshūr: The Career and Thought of a Modern Reformist ʿālim, with Special Reference to His Work of tafsīr, Journal of Qur'anic Studies Vol. 7, No.1 (Edinburgh Univ. Press, 2005), ms. 1-32 boleh dibaca di sini: http://abdullahhasan.net/?p=130

[12] al-Ṭahṭāwī, Rifāʻa Rāfiʿ,  Takhlīṣ al-Ibrīz fī Talkhīṣ Bārīz aw al-Dīwān al-Nafīs bi-īwān Bārīterjemahan Daniel L. Newman. An Imam in Paris: Account of a Stay in France by an Egyptian Cleric (1826-1831). (London: Saqi, 2004)

[13] Khayr al-Dīn al-Tūnisī, Aqwām al-masālik fi maʿrifat aḥwāl al-mamālīk (Tunis: Official Press, 1867). Rujuk juga terjemahan L C. Brown. The Surest Path: The Political Treatise of a Nineteenth-Century Muslim Statesman : a Translation of the Introduction to the Surest Path to Knowledge Concerning the Condition of Countries. (Cambridge MA: Harvard University Press, 1967) dan laman Saudi Aramco World “On The Surest Path”http://www.saudiaramcoworld.com/issue/201103/on.the.surest.path.htm

[14] Abu-Lughod, Ibrahim A. Arab Rediscovery of Europe: A Study in Cultural Encounters. (Princeton: Princeton University Press, 1963)

[15] Ahmad Bazli Shafie, “The Educational Philosophy of Shaykh Muhammad Abduh”, (Kuala Lumpur:  ISTAC-IIUM, 2004)

Saturday 26 May 2012

Pesanan Maulana Sayyid Abu Hassan Ali An-Nadwi pada Ikhwanul Muslimin

Oleh: Muhammad Al-Mahdi Abdullah
http://www.facebook.com/profile.php?id=100001071264294

“Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur. Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad.

Maulana Sayyid Abu Hassan Ali An-Nadwi


Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam jantung hati dan jiwa, akidah dan akal… istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikirkan kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan.…



Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya.. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia dengan izin Allah daripada segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. 



Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kepada insan yang terseksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah – tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah. 



-Al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s.122-125, Damsyik: Dar al-Qalam.

Friday 25 May 2012

Perindu Cinta Allah - Rabi'ah Al-Adawiyah

Oleh: Nur Muslim Blog
http://nurmuslim91.blogspot.com/2010/09/perindu-cinta-allah-rabiah-al-adawiyah.html


Rabi'ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.

Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara' serta zuhud hampir lenyap sama sekali.

Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.

Bapa Rabi'ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi'ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran.

Sejak kecil lagi Rabi'ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam. Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi'ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman.

Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.

Marilah kita teliti ucapan Rabi'ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
"Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.

Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi'ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu."

Rabi'ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:

"Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa."

Setiap malam begitulah keadaan Rabi'ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi'ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:

"Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu."

Seperkara menarik tentang diri Rabi'ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:

"Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun."

Rabi'ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi'ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.

Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:

"Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu."

Antara syairnya yang masyhur berbunyi:

"Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun."


Rabi'ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:

"Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?"

Kecintaan Rabi'ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.

"Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu."

Begitulah keadaan kehidupan Rabi'ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi'ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!

Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar."

Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:

"Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan."

Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.

Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita. Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah.

Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

Jenazah Utuh Al-Allamah Syeikh As-Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki

Oleh: Ustaz Sya'roni As-Samfuriy
http://www.facebook.com/syaroni.assamfury

~Setahun pasca wafatnya Habib As-Sayyid Muhammad Alawi Al-Maliki~

As-Syeikh Habib Muhammad bin 'Alwi Al-Maliki Al-Hasani Mekkah, orang-orang Wahabi yang berniat mau menghinakan Habib Muhammad, karena kebiasaan di Mekkah jika jenazah sudah hancur maka akan dipindah ke tempat lain agar kawasan lama dimasukkan jenazah yang baru; kemudian orang Wahabi melakukan penggalian makam beliau, awalnya mereka berharap agar apa yang mereka temukan pasca 1 tahun adalah jenazah yang sudah hancur, tapi apa dikata?




Ternyata tidak sesuai dengan perkiraan sebelumnya, jenazah As-Syeikh Habib Muhammad Alawi masih utuh.

~2 tahun kemudian, mereka menggali kembali makam Habib Muhammad, apa dikata? jenazah masih tetap utuh, bahkan rambut dan kuku beliau terlihat tumbuh panjang.

~5 tahun kemudian, dilakukan hal yang sama, dan ternyata jenazah beliau masih utuh, bahkan tercium aroma wangi yang wanginya melebihi wanginya kayu gaharu

Subhanallah. Kejadian ini sudah mentaubatkan orang Wahabi.

Sumber: Al-Habib Segaf bin Hasan Baharun (Bangil).

Pengalaman Mengurus Jenazah

Pengalaman seorang Jurumandi Mayat Daerah Gombak, Selangor.
Kisah benar ini diceritakan oleh Ustaz Abu Bakar Abdul Aziz.


Ia berlaku di kawasan daerah Gombak di mana jurumandi memandikan jenazah yang agak kaya orangnya dan berpengaruh. Begini ceritanya :-

Saya telah terlibat dalam pengurusan jenazah lebih daripada 20 tahun. Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana dalam tempoh itu bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang meninggal dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh diri dan sebagainya.

Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat di sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu, telah mendedahkan saya kepada satu kes yang cukup ‘istimewa’ sepanjang pengalaman saya menguruskan jenazah. Inilah kali pertama saya bertemu dengan satu jenazah yang cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan sekali gus menberikan banyak iktibar.

Peristiwa tersebut berlaku dua hari lagi sebelum pilihanraya di Serkam, Melaka. Nama tempat dan nama orang yang meninggal itu tidaklah dapat saya nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan ketika saya diminta oleh anak Allahyarham menguruskan jenazah bapanya.

Pada hari itu, saya pergi ke rumah seorang sahabat untuk mengubatkan mata ibunya bagi kali yang terakhir. Niat saya ialah supaya mata ibu tadi sembuh dan boleh membaca Al-Quran. Tetapi apabila saya hendak pulang, anak Allahyarham datang menemui sahabat saya tadi dan bertanya sama ada saya mengurus jenazah atau tidak. Kawan saya kata, “Cubalah tanya dia sendiri.” Kawan saya ada memberitahu saya dua bulan yang lepas bahawa saya sahaja yang mengadakan kursus dalam hal menguruskan jenazah. Anak Allahyarham menemui saya. Saya beritahu dia bahawa jenazah tidak elok dibiarkan lama-lama.

Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi bila saya hampir sampai ke rumah Allahyarham, saya bau jenazah itu sangat busuk. Baunya cukup pelik dan busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah tetapi tidak pernah saya bertemu dengan mayat yang sebusuk ini.Bila saya tengok wajah Allahyarham, sekali lagi hati saya tersentuh. Saya tengok wajahnya seperti sedang dirundung oleh bermacam-macam perasaaan…takut, cemas, kesal dan bermacam-macam lagi. Wajahnya seperti tidak mendapat nur daripada Allah SWT. Kemudian saya pun ambil kain kafan yang dibeli oleh anak Allahyarham dan saya potong-potongkan. Secara kebetulan pula, di situ ada dua orang yang mengikuti kursus pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan. Saya ajak mereka membantu saya dan mereka bersetuju.

Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa pertama berlaku. Untuk makluman pembaca, apabila memandikan jenazah, badan mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut urut untuk membolehkan najis keluar. Maka saya pun urut urutkan perut Allahyarham. Tapi apa yang berlaku pada hari itu amatlah mengejutkan. Allah itu Maha Berkuasa kerana pada hari tersebut, najis tidak keluar daripada dubur mayat tadi tetapi melalui mulutnya. “Lain macam saja ni”, fikir saya. Lalu saya ubah sedikit teknik dan posisi mayat itu dan saya urut-urutkan lagi perutnya. Tapi najis itu tetap keluar dari mulutnya. Hati saya berdebar-debar. Apa yang sedang berlaku di depan saya ini? Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan najis. Saya harap ia tidak akan berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang terakhir. Tiba-tiba ketentuan Allah berlaku. Bila saya urut perutnya, keluarlah daripada mulut mayat itu najis bersama beberapa ekor ulat yang masih hidup. Ulat itu adalah seperti ulat najis. Warnanya putih. Dari mana datangnya ulat itu, jangan tanya saya.

Allahyarham meninggal dunia akibat diserang sakit jantung dan waktu kematiannya dengan waktu saya menguruskan mayatnya cuma lima jam setengah sahaja jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh yang sebegitu singkat mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa? Saya lihat wajah anak Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib dengan apa yang berlaku pada bapa mereka. Saya tengok dua orang pembantu tadi, mereka juga terkejutdan panik. Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi mayat dan sapukan ke muka mereka. Saya kata kepada mereka, “Inilah ujian Allah kepada kita”. Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi memanggil kesemua anak Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, dan semuanya lelaki. Seorang berada di luar negeri dan enam lagi berada di sini. Bila semua anak Allahyarham masuk, saya marahi mereka. Saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya hanyalah membantu menguruskan jenazah bapa mereka, bukan menguruskan sepenuhnya tanggungjawab tersebut. Sepatutnya sebagai anak, merekalah yang lebih afdal menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukannya tok imam, tok bilal, tok siak. Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan seorang bapa. Tetapi saya kesal kerana dalam saat-saat begini anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak membalas jasa bapa mereka itu.

Saya kemudiannya meminta izin serta bantuan mereka untuk menonggengkan mayat itu. Takdir Allah, apabila ditonggengkan sahaja mayat tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih hidup. Hampir sebesen banyaknya. Besen itu boleh dianggarkan besar sedikit daripada penutup bilah kipas meja. Subhanallah….suasana menjadi semakin panik. Saya terus bertenang dan berharap tidak berlaku lagi kejadian-kejadian yang lebih ganjil. Selepas itu saya mandikan semula mayat tersebut dan saya ambilkan wuduk. Saya minta anak-anaknya mengambil kain kafan. Saya bawa mayat tersebut ke dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun melihat upacara itu kecuali waris yang terdekat, sebab saya takut perkara-perkara yang lebih aib akan berlaku.

Takdir Allah jua yang menentukan. Apabila mayat ini diletakkan di atas kain kafan, saya dapati kain kafan itu cukup-cukup memarasi hujung kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka saya tak boleh nak ikat kepala dan kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa kain kafan itu seperti tidak mahu menerima mayat tadi. Tidak apalah, mungkin saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil baki kain, saya potongkan dan tampungkan di tempat-tempat yang kurang. Memang kain kafan jenazah itu jadi tidak berapa elok, tetapi apa nak buat Itu sahaja yang boleh saya lakukan. Pada masa yang sama saya berdoa kepada Allah, “Ya Allah, jangan Kau hinakan jenazah ini ya Allah, cukuplah sekadar peringatan kepada hambamu ini”. Selepas itu saya berikan taklimat tentang sembayang jenazah. Tiga kali taklimat diberikan. Yang hadir cuma 13 orang saja.

Selepas menyembahyangkan jenazah tadi, satu lagi masalah timbul. Jenazah itu tidak dapat dihantarkan ke tanah perkuburan kerana tidak ada kereta jenazah. Saya hubungi JAWI, JAIS, Pusat Islam, DBKL, Polis dan sebagainya, tetapi yang peliknya, mereka juga tidak mempunyai kereta jenazah kerana kereta yang ada sedang digunakan. Dalam keadaan itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu meminta saya menunggu sebentar untuk membolehkan dia mengeluarkan van dari garaj rumahnya. Kemudian muncullah sebuah van. Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk meletakkan vannya itu di kawasan rumah Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar. Dengan suara yang tegas dia berkata di khalayak ramai, “Abang, saya tak benarkan kereta saya ini digunakan untuk mengangkat jenazah itu sebab semasa hayatnya dia tidak pernah benarkan kita naik keretanya”. Renungkanlah, kalau tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang wanita yang lembut hatinya akan berkata demikian. Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa vannya balik. Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu mendakwa dia adalah anak murid saya. Dia meminta izin daripada saya dalam 10-15 minit untuk membersihkan keretanya itu. Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu, muncul kereta tersebut. Tetapi dalam keadaan yang basah kuyup. Kereta yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah sebuah lori, dan lori itu digunakan oleh lelaki tadi untuk menjual ayam. Renungkanlah, pernahkan kita melihat satu jenazah dibawa ke kubur dengan lori ayam? Dalam perjalanan menuju ke kawasan perkuburan, saya berpesan kepada dua pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak payah membantu kami menguburkan jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi kubur saudara mara dan sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat apa-apa lagi peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku sekali lagi – takdir Allah yang terakhir amat memilukan. Bila sampai sahaja jenazah tersebut ke kuburnya, saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke dalam liang lahad dan tiga lagi turunkan jenazah. Takdir Allah, apabila jasad jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba tiba air hitam yang busuk baunya keluar dari celah-celah bumi yang pada asalnya kering. Hari itu tidak hujan, tetapi dari mana datangnya air itu? Sukar untuk saya menjawabnya. Lalu saya arahkan anak Allahyarham supaya sendaikan jenazah bapa mereka dengan kemas. Saya takut nanti ia akan terlangkup….na’uzubillah. Kalau mayat terlangkup, tidak ada harapan untuk mendapat syafaat Nabi saw.

Papan keranda diturunkan dan kami segera kambus kubur tersebut. Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya mampat dan bila hujan ia tidak mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan tanah yang diinjak itu menjadi becak. Saya tahu, jenazah berkenaan ditenggelamkan oleh air hitam yang busuk itu. Melihatkan keadaan tersebut, saya arahkan anak-anak Allahyarham supaya berhenti menginjakkan tanah itu. Tinggalkan dalam suku meter, timbus dan bataskan. Ertinya kubur itu tidak dikambus hingga ke permukaan lubangnya, tetapi ia seperti kubur berlubang. Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak membacakan talkin, saya tengok tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air. Masya-Allah, dalam sejarah hidup saya, inilah julung-julung kalinya peristiwa seperti itu terjadi. Melihatkan keadaan itu, saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan pengebumian secepat mungkin. Sejak sekian lama terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang saya tidak talkinkan. Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas. Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan keluarganya. Saya bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang telah dilakukan oleh Allahyarham semasa hayatnya. Adakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat harta secara merampas, menipu rasuah, memakan harta masjid dan anak yatim? Isteri allahyarham tidak dapat memberikan jawapan. Memikirkan mungkin dia malu untuk memberitahu, saya tinggalkan nombor telefon rumah saya. Tetapi sedihnya, sehingga sekarang tidak seorang pun anak-anak Allahyarham menghubungi saya.

Untuk pengetahuan umum, anak-anak Allahyarham merupakan orang-orang yang berpendidikan tinggi sehingga ada seorang yang beristerikan orang Amerika, seorang dapat isteri orang Australia dan seorang lagi isterinya orang Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang yang membantu saya menguruskan jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata mereka menyesal membantu saya menguruskan jenazah Allahyarham kerana anak-anak Allahyarham telah menjadikan mereka sebagai musuh. Saya bertanya, adakah mereka menceritakan kisah itu kepada masyarakat? Mereka kata ‘TIDAK’. Peristiwa ini akan tetap saya ingat sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah diri kita adakah kita mahu peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu bapa kita, anak kita atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku berulang-ulang kali sehingga sampai satu masa nanti di mana masyarakat menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?

Nizam al-Mulk dan Madrasah Nizamiyyah (Siri Wacana HAKIM)

Oleh: Muhammad Syukri Rosli
 http://hakim.org.my/blog/?p=308#more-308

Kompleks Madrasah Mustansiriyyah yang dikatakan
menyamai Kompleks Madrasah Nizamiyyah

Disediakan oleh Muhammad Syukri Rosli


Pada 26 April 2012 yang lalu, Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) telah menganjurkan wacana bersiri yang bertajuk Niẓām al-Mulk dan Madrasah Niẓāmiyyah, bertempat di Pejabat Media HAKIM, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Wacana pertama dalam siri wacana intelektual ini telah disampaikan oleh Ustaz Asyraf Isyraqi, Felo HAKIM.

“Niẓām al-Mulk masih kurang dikenali oleh masyarakat, tetapi beliau telah membawa pembaharuan besar dalam sejarah,” kata Ustaz Asyraf, semasa memulakan pembentangannya. Beliau menjelaskan bahawa beliau memilih judul ini dalam kajian kedoktorannya kerana meyakini bahawa Niẓām al-Mulk bertanggungjawab membangunkan Madrasah Niẓāmiyyah, sebuah madrasah sistematik yang pertama dalam sejarah Islam.


Mengenali Diri Niẓām al-Mulk

Kehidupan Niẓām al-Mulk dilatari dengan pelbagai kisah. “Niẓām” adalah gelaran yang diberikan kepada al-Ḥasan ibn ‘Alī ibn Isḥaq, yang juga dikenali sebagai Abū ‘Alī atau al-Ṭusī. Niẓām al-Mulk dilahirkan di Ṭus (sebuah kota yang berdekatan dengan Naisapur) pada 1018 M. Beliau berasal daripada daripada keluarga yang sederhana, di mana bapanya adalah seorang dihqan (pengutip cukai tanah kerajaan Kesultanan Ghaznawi dan Saljuq), manakalah ibunya telah meninggal semasa beliau kecil.

Beliau membesar bersama ayahnya dan kehidupanya tidak semewah kanak-kanak lain. Keluarganya berhadapa dengan pergolakan politik – pada waktu itu sedang berlaku pertukaran kuasa daripada kesultanan Ghaznawi kepada kesultanan Seljuk. Apabila ayahnya meninggal dunia, Niẓām al-Mulk tidak mewarisi apa-apa pun hartanya.


Latar Pendidikan Niẓām al-Mulk

Pendidikan Niẓām al-Mulk bermula dari rumah dan apabila berumur 11 tahun, beliau belajar daripada ‘Abd al-Ṣamad al-Fanduhī dan kemudian dengan Ḥibatullāh al-Naisaburī, kedua-duanya adalah ilmuwan mazhab Shafi‘ī. Beliau kemudian meneruskan pengajiannya di Bukhara, di mana dalam perjalanan ke sana, beliau bertemu dengan ilmuwan Ṣufī, Abū Sa‘īd Abu al-Khayr. Beliau juga mempelajari ḥadīth dari sejumlah ilmuwan Hadis. Semasa menjawat jawatan perdana menteri kesultanan Seljuk, beliau mendampingi ilmuwan-ilmuwan seperti Imam al-Haramayn al-Juwainī, Imam Abu Ishaq al-Shirazi, dan Imam al-Ghazālī. Sungguhpun dilaporkan beliau mengambil hadith ḥadīth daripada ilmuwan shī‘ah, namun beliau tidak boleh dinisbahkan kepada aliran shī‘ah kerana secara mutawatir, beliau dinisbahkan oleh pelbagai catatan-catatan ilmuwan dan sejarah sebagai beraliran Asha‘irah dan bermazhab Shafi‘ī.


Ketokohan Niẓām al-Mulk

Beliau merupakan seorang tokoh kepimpinan dan keilmuan. Dikhabarkan bahawa beliau pernah mengajar ḥadīth-ḥadīth Nabi di Jāmi‘ al-Maḥdi dan di Madrasah Niẓāmiyyah. Antara karya yang terkenal beliau, Siyasat Nameh yang dikarang dalam bahasa Parsi –bermaksud buku tentang panduan pemerintahan. Dalam karyanya ini, beliau membandingkan dan cuba menggabungkan tradisi-tradisi kepimpinan dan pemerintahan yang terdapat dalam dua ketamadunan besar – Islam dan Parsi. Kitabnya ini telah dipilih oleh khalifah sebagai panduan untuk pentadbiran negara. Imam al-Ghazālī, yang mengarang kitab Naṣiḥat’ul-Muluk, dilihat seolah-olah mengambil Siyasat Nameh sebagai model pengarangannya.

Niẓām al-Mulk merupakan seorang yang sangat taat dan berpegang kuat kepada agama. Di dalam al-Kamil fī al-Tarikh, beliau diceritakan begitu menjaga ibadah solat, puasa Isnin dan Khamis dan sangat bimbangkan azab akhirat. Beliau juga pernah dipetik berkata, “Alangkah baiknya aku ada sebuah masjid dan menghabiskan umurku di sana untuk beribadah.” Beliau juga merupakan seorang yang sangat pemaaf. Semasa beliau ditikam di pinggang oleh pembunuhnya, beliau sempat berpesan kepada pengawalnya supaya tidak membunuh pembunuh itu – kerana beliau telah memaafkannya. Beliau juga ada mengutuskan surat-surat kepada anak-anaknya dan berpesan supaya mereka menjaga solat, puasa, menjaga akhlak, menuntut ilmu dan belajar bahasa Arab.

Sebagai seorang pemerintah, beliau juga akrab dengan ulama’. Beliau sering menganjurkan majlis yang menghimpunkan para ulama. Niẓām al-Mulk amat sedar martabatnya berbanding ulama’ dan beliau merendahkan dirinya di dalam majlis ilmu. Diceritakan bahawa beliau telah mempersilakan para ulama’ untuk menduduki tempat yang lebih tinggi dan menunggu guru yang mengajar dalam sesuatu majlis untuk duduk, sebelum beliau sendiri duduk. Pernah satu ketika, pegawainya menzahirkan kebimbangan kerana beliau kelihatan terlalu sibuk menganjurkan majlis ilmu. Namun, Niẓām al-Mulk menjawab bahawa, “Ilmu dan ulama’ itu adalah tiang kepada sebuah negara, jika tiang tidak kuat, maka runtuhlah agama itu.” Beliau juga dikatakan suka mendengar nasihat ulama’. Apabila beliau bertemu dengan Abu Abdullah Ismail al-Ansari al-Harawī untuk meminta nasihat, beliau dikhabarkan menangis ketika mendengar nasihat itu.


Kisah Tiga Orang Sahabat

Dikisahkan bahawa beliau bertemu dan bersahabat dengan Ḥassan al-Sabbah, seorang ketua gerakan Baṭiniyyah, dan ‘Umar al-Khayyam, seorang ahli astronomi dan penyair yang terkenal ketika mereka bertiga belajar bersama Hibat Allah al-Naysaburi. Telah diceritakan bahawa mereka bertiga mengikat perjanjian agar sesiapa di kalangan mereka bertiga yang berada di puncak kejayaan perlu membantu dua orang lagi rakannnya untuk mendapat kedudukan yang sama. Akhirnya, Niẓām al-Mulk mengecapi kejayaan tertinggi berbanding yang lain. Niẓām al-Mulk membantu ‘Umar al-Khayyam dengan melantiknya sebagai ahli astronomi negara dan bertanggungjawab terhadap balai cerap Malik Shah serta mengusahakan Sistem Kalendar Jalali. Niẓām al-Mulk juga membantu Hasan al-Sabbah untuk menjadi pegawai dalam kerajaan Sultan Malik Shah, malangnya Ḥassan al-Sabbah banyak mengkhianati tanggungjawab yang diberi sehingga akhirnya dibuang dan Hassan juga bertanggungjawab terhadap pembunuhan Niẓām al-Mulk.


Keterbukaan Fikiran Niẓām al-Mulk

Niẓām al-Mulk adalah seorang pemimpin yang berfikiran terbuka. Pada suatu ketika, telah berlaku pertelingkahan besar di antara pengikut mazhab Shafi‘ī dan pengikut mazhab Ḥanbalī, sehingga menyebabkan pertumpahan darah. Niẓām al-Mulk telah meminta salah seorang ulama’ bermazhab Shafi‘ī untuk tidak terlalu emosional dengan pihak yang bertentangan. Sungguhpun Niẓām al-Mulk sendiri bermazhab Shafi‘ī, namun beliau menegur dengan adil kedua-dua belah pihak.

Sebagai seorang perdana menteri kesultanan Seljuk, beliau amat menekankan bahawa untuk bersatu itu lebih baik daripada berlaku perpecahan. Tekad beliau membangunkan Madrasah Niẓāmiyyah adalah untuk bergerak ke arah kesatuan dan mengelakkan perpecahan dalam rakyat. Selain itu, beliau juga amat menitikberatkan kestabilan di dalam negara. Niẓām al-Mulk juga tidak menghalang kepelbagaian aliran pemikiran di dalam negara – namun ia tidak dilarang selagi mana ia tidak menyebabkan terjadinya huru-hara. Misalnya, beliau tidak menghalang kewujudan pelbagai madrasah bagi aliran-aliran yang lain di samping Madrasah Niẓāmiyyah yang khusus untuk aliran Ashairah dan mazhab Shafii. Akan tetapi, aliran Baṭiniyyah telah ditentang habis-habisan kerana ia lebih bersifat subversif dan mahu menumbangkan kesultanan Seljuk untuk mengambil alih pemerintahan.


Latar Politik Semasa Pemerintahan Niẓām al-Mulk

Kekhalifahan ‘Abbasiyyah telah melalui pelbagai fasa kerana ia dipengaruhi oleh wakil-wakil khalifah yang digelar sulṭān. Pada suatu ketika, tentera-tentera berbangsa Turki telah mengawal negara. Kemudian, ia dituruti oleh Kesulṭānan Buwayh, iaitu sulṭān-sulṭān keluarga Buwayh yang telah menjadikan khalifah sebagai boneka – yakni menjadikan baginda hanya sebagai simbol negara Islam dan kekuasaannya terhad dalam urusan-urusan keagamaan. Kesulṭānan Buwayh ini bermazhab Shi‘āh dan pada masa pemerintahannya, mereka telah mengambil kesempatan untuk membangunkan aliran Shi‘āh.

Setelah itu, Kesulṭanan Seljuk pula menggambil alih posisi sulṭān untuk khalifah ‘Abbasiyyah. Sulṭān-sulṭān Seljuk berasal daripada keturunan Turkiman. Mereka mengembalikan kehormatan kepada khalifah. Keturunan mereka baru sahaja memeluk Islām dan bermazhab Ḥanafī. Pada waktu mereka jugalah, hubungan antara khalifah dan sulṭān menjadi lebih baik.

Niẓām al-Mulk menjadi perdana menteri kepada dua orang sulṭān Seljuk, iaitu Alp Arsalan dan anak baginda, Mālik Shah I. Sebelum Arp Arsalan meninggal dunia, beliau telah berwasiat kepada Niẓām al-Mulk untuk menjadi perdana menteri untuk pewarisnya yang pada waktu itu masih berumur 18 tahun.


Latar Aliran Islam Semasa Pemerintahan Niẓām al-Mulk

Sebelum pemerintahan Niẓām al-Mulk, telah berlaku begitu banyak pertembungan aliran. Misalnya, aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah bertembung dengan aliran Shi‘āh, Mu’tazilah dan Asha‘īrah, Ḥanābilah dan Asha‘īrah, dan Mu’tazilah serta Ḥanābilah. Bilamana Niẓām al-Mulk mengambil alih pemerintahan, beliau telah berjaya mengurangkan pertembungan. Diceritakan pada waktu beliau, ulama’-ulama’ Asha‘īrah, Mu’tazilah dan Ḥanābilah boleh berjenaka antara satu sama lain di dalam sebuah majlis.

Niẓām al-Mulk juga bertanggungjawab mengambalikan kedudukan Asha‘īrah, setelah dipinggirkan oleh pemerintah sebelum ini yang bermazhab Mu’tazilah – yang telah melakukan penghinaan dan pengusiran ulama’-ulama’ Asha‘īrah. Niẓām al-Mulk telah memanggil semula semua ulama’-ulama’ Asha‘īrah dan menempatkan mereka di Madrasah Niẓāmiyyah.


Karya Niẓām al-Mulk

Dinisbahkan kepada beliau tiga karya iaitu Siyasat Nameh, Waṣaya (autobiografi), dan Safar Nameh (kitab pengembaraan beliau, dan kini telah hilang).


Kematian Niẓām al-Mulk

Setelah hampir 30 tahun memegang jawatan perdana menteri, Niẓām al-Mulk telah dibunuh oleh seorang pemuda Baṭiniyyah. Beliau merupakan mangsa pertama pembunuhan yang dilakukan oleh pergerakan ini. Ini berpunca daripada seorang sahabatnya, Ḥasan al-Sabbah yang telah diturunkan jawatan oleh sulṭān, lalu mengkhianati Niẓām al-Mulk – yang mengetahui banyak perihal dirinya. Ḥasan al-Sabbah merupakan seorang yang mampu membentuk pengikut yang fanatik, sehingga dikisahkan bahawa pengikutnya sanggup terjun gaung dan mati atas arahan beliau.


Institusi Pendidikan Sebelum Madrasah Niẓāmiyyah

Madrasah Niẓāmiyyah merupakan madrasah pertama dalam dunia Islam. Ini disebabkan oleh madrasah Niẓāmiyyah merupakan institusi pendidikan yang pertama dinaungi oleh pemerintah dan mempunyai sistem yang formal. Sebelum itu, terdapat institusi-institusi pendidikan yang juga dinamakan madrasah, tetapi ia bersifat persendirian dan diuruskan oleh guru utamanya. Selain itu, terdapat juga Salun Adabiyyat (Salun Kesusasteraan) yang merupakan majlis ilmu golongan elit yang terdiri daripada pembesar dan ulama. Terdapat juga kedai-kedai buku dan kitab. Selain itu, kawasan pedalaman juga merupakan institusi pendidikan – kerana para ilmuan mengembara ke kawasan pedalaman untuk memperbaiki bahasa ‘Arab dengan berjumpa dengan orang-orang kampung.


Tujuan Penubuhan Madrasah Niẓāmiyyah

Terdapat lima tujuan penubuhan Madrasah Niẓāmiyyah. Pertama, ia adalah untuk menjadi tempat mengumpulkan para ilmuan dan penuntut ilmu. kedua, untuk menyediakan penjawat awam yang berkualiti kepada negara, seperti jawatan Ḥakim, Qaḍī, penyair atau sasterawan. Ketiga, mengembalikan dan mempertahankan aliran Asha‘īrah. Keempat memastikan kestabilan pemerintahan dan keamanan negara. Kelima, mewujudkan kesejahteraan dan kesatuan umat Islam.


Ciri-ciri Pengurusan Madrasah Niẓāmiyyah

Madrasah Niẓāmiyyah ditadbir oleh pengurusannya sendiri. Dari segi pentadbiran, Madrasah Niẓāmiyyah diketuai oleh Walī atau Naẓir yang bertindak sebagai pemantau. Mutawallī pula adalah ulama’ utama dan menguruskan madrasah. Imām pula menguruskan masjid, dan Khazīn pula merupakan pustakawan yang dilantik daripada ilmuan yang mahir dalam bahasa ‘Arab. Ilmuan yang mahir dalam bahasa ‘Arab ini mempunyai kebolehan dalam memahami isi kandungan kitab dan mengenal pasti intipati karya untuk menjadi rujukan ilmuan. Madrasah Niẓāmiyyah juga mempunyai Mustakhdamīn, iaitu pekerja-pekerja am.


Ilmuan di Madrasah Niẓāmiyyah

Dari sudut keilmuan, Madrasah Niẓāmiyyah diketuai oleh seorang guru utama, yang digelah Mudarris. Beliau dibantu oleh Nā’ib Mudarris. Terdapat guru al-Qur’an yang bergelar Muqri’ dan guru Ḥadīth yang dipanggil Muḥaddīth, juga guru Bahasa Arab yang disebut Nahwi. Selain itu, terdapat jawatan Mu’īd yang merupakan pembantu kepada guru utama dan mereka terdiri daripada murid yang berjaya mencapai tahap saḥīh. Misalnya, Imām al-Ghazālī belajar di Madrasah Niẓāmiyyah di Naisapur dan menjadi Mu’īd kepada Imam Haramayn al-Juwaynī yang merupakan Mudarris di madrasah tersebut.

Dalam peringkat penuntut pula, mereka dibahagikan mengikut penguasaan terhadap ilmu. Terdapat penuntut ilmu di peringkat mubtadīn (rendah), mutawassitīn (pertengahan), dan muntahīn (tinggi). Penuntut ilmu di Madrasah Niẓāmiyyah dipanggil dengan gelaran faqih.


Pemilihan Ilmuan

Niẓām al-Mulk sendiri memilih dan meninjau ilmuan yang layak menerajui Madrasah Niẓāmiyyah. Diceritakan bahawa beliau sendiri mendengar pengajaran ilmu daripada Imām al-Ghazālī sebelum membawanya ke majlis khas di istana untuk menerima watikah pelantikan. Di sini, guru utama akan dikurniakan watikah pelantikan yang merupakan amanat dan penjelasan tugas sebagai guru utama. Khalifah akan memakaikannya dengan jubah akademik yang berwarna biru gelap dan dipakaikan dengan topi yang berbentuk songkok hitam. Kemudian, guru utama tersebut akan memberi syarahan perdana sempena pelantikannya sebelum diakhiri dengan jamuan ringan. Terdapat juga kes di mana seseorang guru utama itu dipecat kerana didapati menyeleweng harta madrasah dan jubah akademiknya telah diambil semula oleh pengurus madrasah.


Bidang Keilmuan di Madrasah Niẓāmiyyah

Terdapat lima bidang ilmu yang utama di Madrasah Niẓāmiyyah iaitu al-Quran, hadis, kalam, fiqh, dan bahasa Arab.


Bangunan Madrasah Niẓāmiyyah dan Rangkaian Niẓāmiyyah

Madrasah Niẓāmiyyah seumpama sebuah kompleks yang mempunyai dewan pengajian, kediaman pengurus dan ilmuan dan asrama penuntut ilmu. Terdapat juga masjid, perpustakaan, bilik untuk ilmuan, bilik untuk rehat, bilik memasak dan bilik peralatan. Di Madrasah Niẓāmiyyah juga ada pusat kesihatan dan pasar. Madrasah Niẓāmiyyah terletak di kawasan tumpuan masyarakat seperti berdekatan dengan istana, pasar harian, dan sebagainya.

Selain di Baghdad, terdapat rangkaian Madrasah Niẓāmiyyah di tempat-tempat lain seperti di Naisabur, Balkh, Isfahan, Herat, Marw, Amul Tabaristan, Basrah, ‘Askar Makram dan Mawsil. Di Isfahan, dikhabarkan bahawa ia merupakan madrasah yang paling cantik dan terletak bersebelahan dengan Masjid Jami‘ Isfahan.


Kemudahan dan Kemahsyuran Madrasah Niẓāmiyyah

Madrasah Niẓāmiyyah didanai oleh sumber waqf. Para pelajarnya diberi jumlah wang yang khusus dan ilmuannya disediakan dengan gaji yang khusus. Dikisahkan bahawa ulama’-ulama’ pada zaman itu berkeinginan untuk dilantik mengajar di sana. Apabila ilmuan menjawat jawatan di Madrasah Niẓāmiyyah, kedudukan mereka akan naik dan dihormati oleh khalifah. Dinyatakan bahawa ada ulama’ yang sanggup menukar mazhab semata-mata mahu dilantik ke Madrasah Niẓāmiyyah.

Madrasah Niẓāmiyyah juga berjaya menarik penuntut dari jauh, seperti Ibn Tumart yang berasal dari Maghribi. Madrasah Niẓāmiyyah juga berjaya melahirkan ilmuan-ilmuan besar Islām seperti Abu Hamid al-Ghazālī (Pengarang Ihya’ Ulum al-Din), Abu Sa‘d al-Sam‘ani (Pengarang al-Ansab), dan al-Fairuzabadi (Pengarang al-Qamus al-Muhit). Sekurang-kurangnya terdapat lebih dari 250 nama ilmuwan yang berkait dengan institusi ini sama ada sebagai guru, pelajar, mahupun pengurus.

Setelah beberapa lama, telah muncul Madrasah Mustansiriyyah yang menyaingi kemahsyuran Madrasah Niẓāmiyyah. Madrasah Mustansiriyyah menawarkan lebih banyak cabang ilmu yang agak menenggelamkan Madrasah Niẓāmiyyah. Namun, pada masa yang sama, Madrasah Niẓāmiyyah masih kekal sebagai pusat keilmuan yang menjadi tumpuan dunia Islam dan kewujudannya didapati berlangsungan sehingga kurun ke-9 H. Madrasah Niẓāmiyyah boleh dilihat sebagai model rujukan kepada pembangunan madrasah di dunia Islam seperti Madrasah Mustansiriyyah, Madrasah Nuriyyah al-Kubra, Madrasah Nasiriyyah, dan lain-lain. Malah boleh juga dilihat mempengaruhi pembangunan institusi pendidikan tinggi dalam era pertengahan dunia Barat seperti Universiti Bologna dan Paris.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...